fb fb fb fb fb

Legenda kriket India, Virat Kohli umum persaraan

Foto AFP

KUALA LUMPUR, 12 Mei -  Legenda kriket India, Virat Kohli, mengumumkan persaraan daripada kriket ujian hari ini, sekali gus menamatkan karier cemerlang selama 14 tahun.

Keputusan Kohli hadir beberapa hari selepas ketua pasukan pasukan, Rohit Sharma turut menggantung kasut dalam format sama.

Satu tamparan buat skuad Men in Blue menjelang siri lima ujian menentang England bermula pada 20 Jun ini.

Kohli, 36, telah mewakili India dalam 123 perlawanan ujian sejak penampilan pertama menentang Hindia Barat pada 2011, mengumpul 9,230 larian dengan purata 46.85.

Hanya tiga pemain iaitu Sachin Tendulkar, Rahul Dravid dan Sunil Gavaskar berjaya merekodkan lebih banyak larian ujian untuk India berbanding Kohli.

Ketika menerajui pasukan sebagai kapten dari tahun 2014 hingga 2022, Kohli memimpin India dalam 68 ujian, memenangi 40 daripadanya menjadikannya kapten paling berjaya dalam sejarah kriket ujian India dan keempat terbanyak bagi kemenangan keseluruhan.

Di bawah pimpinannya, India mara ke final Kejohanan Kriket Ujian Dunia dua kali, namun tewas kepada New Zealand pada 2021 dan Australia pada 2023.

Walaupun Kohli telah bersara daripada kriket ujian dan T20, beliau dijangka masih terus menyarung jersi India dalam format satu hari (ODI).

MOHD ZAMBRI BIN SUHARANI