LONDON, 12 Mei - Pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou percaya kemenangan dalam final Liga Europa menentang Manchester United pada 21 Mei ini bakal menjadi “titik perubahan” penting kelab itu, yang dibelenggu kegagalan merangkul kejuaraan utama lebih dua dekad
Spurs kali terakhir menjulang trofi pada Piala Liga 2008 dan belum menjuarai kejohanan Eropah sejak Piala UEFA 1984, kini berpeluang mengubah kisah itu. Postecoglou menyifatkan kejayaan ini lebih besar daripada sekadar pencapaian peribadi.
“Ia bukan tentang saya. Ia tentang impak kepada kelab dan penyokong. Sejarah 20 tahun terakhir kelab ini mencerminkan betapa pentingnya perubahan persepsi, bukan sahaja daripada luar, tetapi juga dalam diri kelab ini sendiri,” katanya.
Menjelang perlawanan akhir di Bilbao, Postecoglou turut mengakui cabaran terbesar dihadapi Spurs adalah persepsi sebagai pasukan bernasib malang berbanding United yang memiliki rekod lebih cemerlang.
“Selagi kita belum menang, orang akan terus berkata ‘Spurs gagal lagi’. Kita perlu ubah itu dan hasilkan detik yang boleh dikenang, seperti pasukan 1984 yang gambarnya masih tergantung di stadium.”
Postecoglou juga memberi perkembangan positif mengenai kapten pasukan, Son Heung-min, yang kembali beraksi dalam kekalahan kepada Crystal Palace selepas sebulan berehat akibat kecederaan.
“Secara fizikal, Son dalam keadaan baik. Dia tahu betapa pentingnya trofi ini buat dirinya dan kelab. Dia sudah berikan segala-galanya untuk Spurs, dan kini masa untuk lengkapi legasi dengan kejuaraan,” ujarnya.