LABUAN, 1 November - Lebih 150 pasukan dari Sabah, Sarawak, Brunei dan tuan rumah Labuan menyertai Kejohanan Dart Terbuka Berpasangan 2025 anjuran Kelab Generasi Labuan (KGL), melibatkan lebih 300 pemain.
Kejohanan tersebut dirasmikan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Mohd Rafi Datuk Alli Hassan, di Palm Beach Resort and Spa, Labuan.
Menurut beliau, penyertaan meluas dari seluruh Borneo termasuk Brunei Darussalam mencerminkan semangat silaturahim dan perpaduan serantau yang erat.
“Kejohanan ini bukan sekadar pertandingan, tetapi platform memperkukuh semangat kesukanan dan persahabatan antara komuniti Labuan, Sabah, Sarawak dan Brunei,” katanya.
Beliau turut menyarankan agar lebih banyak persatuan sukan di Labuan mengambil inisiatif menganjurkan kejohanan seumpama itu kerana impaknya besar kepada sektor ekonomi tempatan, khususnya dalam industri perhotelan, makanan dan pelancongan.
“Penganjuran seperti ini mampu menggalakkan gaya hidup sihat serta mengurangkan penglibatan golongan muda dalam aktiviti tidak berfaedah,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi KGL merangkap Pengerusi Penganjur, Faridzuan Abd Harah, berkata kejohanan itu merupakan penganjuran sulung oleh kelab tersebut dan mendapat sambutan amat menggalakkan daripada peminat sukan dart di seluruh Borneo.
“Kami harap kejohanan ini dapat menjadi acara tahunan dan terus mengukuhkan semangat kesukanan serta perpaduan antara pemain,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi Persatuan Dart Labuan, Suali Tuah.