JOHOR BHARU, 10 Februari- Berikutan penularan COVID-19, penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Johor terpaksa ditangguhkan.
Menurut kalendar sukan, acara itu hanya akan berlangsung kira-kira dua tahun lagi.
Bagaimanapun segala fasiliti dan venue untuk temasya itu, telah tersedia dan boleh digunakan untuk pelbagai acara sukan, samada peringkat domestik atau antarabangsa.
Mula dibina pada pertengahan Februari 2019, Velodrom Johor yang bernilai 49.98 juta ringgit dengan keluasan 6.3 hektar selain memiliki trek sepanjang 250 meter itu, akhirnya siap sepenuhnya pada Februari 2020.
Bukan itu sahaja, ia juga mampu memuatkan kira-kira 700 penonton dalam satu masa.
Menurut Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor, Nor Syazlan Abdul Razak, antara tarikan utama velodrom Johor ialah rekabentuknya yang unik dan paling penting ia diiktiraf Kesatuan Berbasikal Dunia, kelas pertama.
"Trek ini diperbuat daripada kayu sibreian cyprus dari Siberia yang mana dikilangkan, dikeringkan dan dipotong di Jepun,
"Kalau dilihat Velodrom Johor ini tidak menggunakan penghawa dingin sebaliknya mengamalkan konsep 'eco green' dan 'eco energy'," katanya kepada Berita RTM.
Velodrom tersebut mula digunakan atlet Johor pada Ogos 2021, manakala Kejohanan Trek Junior Cycling JCM Siri 1, berlangsung sejak 8 Februari
hingga esok, merupakan kejohanan domestik pertama diadakan di venue
berkenaan.
Bagi memastikan fasiliti tersebut sentiasa di tahap terbaik maka Majlis Sukan Negeri Johor akan memastikan ia sentiasa diselengara dengan sebaiknya menjelang Sukma Johor 2024.
Selain Velodrom, beberapa venue SUKMA Johor yang lain seperti Arena Emas, stadium olahraga Mount Austin, dan Lapang Sasar Johor juga kini siap dibina dan dibuka untuk penganjuran sukan secara berperingkat.