fb fb fb fb fb

Langgar protokol COVID-19, empat pemain Argentina digantung perlawanan


ZURICH, 15 Februari- Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bertindak tegas apabila menggantung dua perlawanan terhadap empat pemain Argentina.

Ia susulan kegagalan pemain itu mematuhi protokol kesihatan COVID-19 ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2022 menentang Brazil pada 5 September lalu.

Empat pemain Argentina itu ialah Emiliano Buendia, Emiliano Martinez, Giovanni Lo Celso dan Cristian Romero.

Perlawanan melibatkan dua pasukan itu juga terpaksa ditangguhkan selepas pihak kesihatan mendapati empat pemain tersebut melanggar protokol ditetapkan bagi mengekang penularan wabak berkenaan.

Kesemua pemain tersebut didapati masih bersama pasukan kebangsaan Argentina biarpun kelab mereka di England melarang perjalanan ke Amerika Selatan yang disenaraikan dalam zon merah bagi mengekang penularan COVID-19.

Sementara itu, FIFA pada Isnin mengarahkan Brazil dan Argentina memainkan semula perlawanan kelayakan Piala Dunia yang dihentikan di Sao Paulo pada September atas dakwaan pelanggaran kuarantin COVID-19 oleh pelawat.

"Selepas penyiasatan menyeluruh terhadap pelbagai elemen fakta dan berdasarkan peraturan yang terpakai, Jawatankuasa Tatatertib FIFA telah memutuskan bahawa perlawanan itu harus dimainkan semula pada tarikh dan di lokasi yang akan diputuskan oleh FIFA," kata kenyataan badan induk dunia itu.- AFP

Media Baharu