LOS ANGELES, 15 Julai - Penganjur Sukan Olimpik Los Angeles 2028 pada Isnin telah mendedahkan buat pertama kali jadual pertandingan Olimpik, menonjolkan penyusunan semula acara utama serta senarai sukan paling diminati dalam sejarah temasya.
Pengumuman ini dibuat ketika bandar tersebut menyambut tiga tahun menjelang Upacara Pembukaan dan meraikan satu pencapaian penting legasi: lebih sejuta penyertaan dalam program sukan belia PlayLA.
Buat pertama kali dalam hampir tiga dekad, Sukan Olimpik Musim Panas akan kembali ke Amerika Syarikat, dengan Los Angeles menjadi tuan rumah buat kali ketiga selepas tahun 1932 dan 1984.
LA28 bakal menampilkan 844 acara bertiket yang direka untuk memaksimumkan tontonan domestik dan antarabangsa.
Penganjur mendedahkan bahawa Upacara Pembukaan akan berlangsung pada 14 Julai 2028, pukul 8:00 malam akan dibahagikan antara LA Memorial Coliseum dan Stadium SoFi di Inglewood. Upacara Penutupan dijadualkan pada 30 Julai di Coliseum.
Perubahan paling ketara daripada tradisi, jadual LA28 menukar susunan biasa bagi acara olahraga dan renang.
Acara trek dan padang akan membuka temasya pada minggu pertama, manakala renang akan berlangsung pada minggu kedua, dengan kemuncaknya pada hari kedua terakhir di Stadium SoFi di Inglewood.
Juara Olimpik pertama LA28 akan ditabalkan di Pantai Venice menerusi acara triatlon, manakala maraton akan menutup acara olahraga pada hujung minggu terakhir.
Hari ke-15 dijangka menjadi hari paling sibuk untuk acara pingat, dengan 16 perlawanan akhir sukan berpasukan dan 19 perlawanan akhir sukan individu.
"Jadual pertandingan Olimpik telah dibangunkan dengan teliti untuk memastikan atlet terbaik dunia dapat bertanding di LA.
"Kami terinspirasi dengan pencapaian hari ini dan terus fokus terhadap kerja yang mendatang dalam laluan menuju 2028." kata Ketua Pegawai Eksekutif LA28, Reynold Hoover dalam satu kenyataan.
Penganjur berkata jadual ini akan terus diperhalusi, dengan perincian lanjut bakal diumumkan lewat tahun ini.
"Apabila dunia datang ke sini untuk temasya ini, kami akan menyerlahkan setiap kejiranan ketika menjadi tuan rumah untuk semua dan memastikan ia meninggalkan legasi yang monumental," kata Datuk Bandar LA, Karen Bass.
Sementara itu, Hoover menyertai satu acara di Coliseum untuk meraikan PlayLA yang telah melepasi satu juta penyertaan program.
Inisiatif ini, yang disokong oleh pelaburan sehingga $160 juta daripada LA28, Jabatan Rekreasi dan Taman bandar, serta IOC, menyediakan program sukan mampu milik dan inklusif untuk kanak-kanak berumur 3 hingga 17 tahun merangkumi lebih 40 sukan Olimpik dan adaptif.- REUTERS