fb fb fb fb fb

La Liga: Real Madrid benam Valencia 4-0, kekal tangga teratas liga

Ledakan dua gol dari Kylian Mbappe meletakkan Real Madrid kukuh di tangga teratas liga /AFP

MADRID, 2 November- Ledakan dua gol Kylian Mbappe membuatkan Real Madrid menang bergaya 4-0 ke atas Valencia, sekali gus melebarkan jurang tujuh mata di puncak La Liga.

Jude Bellingham dan Alvaro Carreras turut menemui sentuhan jaringan bagi pasukan tuan rumah yang mendominasi perlawanan, menjelang pertemuan penting menentang Liverpool dalam saingan Liga Juara Selasa ini.

Dua jaringan Mbappé serta satu gol daripada Bellingham memberikan Madrid kelebihan tiga gol di separuh masa pertama, sekali gus menamatkan saingan dengan awal.

“Kami bermain luar biasa pada separuh masa pertama, dan apabila mendahului 3-0, adalah normal sedikit mengendur,” kata pemain tengah Fede Valverde kepada Real Madrid TV.

“Kami harus menikmati permainan bersamanya (Mbappé) dan memanfaatkan kehebatannya agar dia terus menjaringkan gol buat Real Madrid.

“Dia akan mencapai segala kejayaan kerana dia antara pemain terbaik dunia.” katanya.

Madrid mengawal penuh permainan pada separuh masa kedua tanpa banyak ancaman, sebelum Carreras meledak gol keempat pada minit ke-82.

“Saya berasa bangga. Gol ini hadir pada waktunya — saya tidak terburu-buru, tugas utama saya ialah bertahan,” kata Carreras selepas perlawanan.

“Kami mempunyai mentaliti yang baik ketika kehilangan bola — kami menekan dengan sempurna, dan perkara ini semakin menjadi kekuatan kami.” tambahnya.

Juara bertahan, Barcelona pula, dijadualkan menentang Elche pada Ahad, dengan harapan mengurangkan semula jurang kepada lima mata.

Valencia, kekal menghuni tiga tangga tercorot liga tanpa kemenangan dalam enam perlawanan. -AFP

SITI NOORAIN ABDULLAH