fb fb fb fb fb

La Liga: Mbappe cemerlang bantu Madrid benam Oviedo 3-0

Pemain Real Madrid, Kylian Mbappe menjaringkan gol kedua pada perlawanan La Liga menentang Real Oviedo di Asturias pada Ahad/ Foto AFP

OVIEDO, 25 Ogos – Kylian Mbappe sekali lagi menjadi wira Real Madrid apabila meledak dua gol untuk membantu pasukannya mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Real Oviedo dalam aksi La Liga pada Ahad.

Pertemuan itu cukup bermakna buat Oviedo yang kembali ke kancah tertinggi bola sepak Sepanyol selepas hampir 25 tahun tersisih, namun sambutan meriah penyokong tuan rumah di Asturias tidak mampu menghalang kehebatan juara Eropah 15 kali itu.

Mbappe membuka jaringan sebelum menambah gol kedua, manakala Vinicius Junior yang dimasukkan sebagai pemain gantian melengkapkan pesta jaringan dengan gol ketiga hasil gerakan individu. Bintang Brazil itu turut mencipta satu bantuan jaringan.

Pengendali Madrid, Xabi Alonso, melakukan beberapa perubahan daripada kemenangan tipis 1-0 menentang Osasuna minggu lalu dengan merehatkan Vinicius dan Trent Alexander-Arnold, memberi peluang kepada Rodrygo Goes dan kapten pasukan Dani Carvajal yang baru pulih daripada kecederaan.

β€œItu satu persembahan yang serius dan lengkap, baik ketika menyerang mahupun bertahan. Vini masuk dan memberi impak pada dua gol yang memastikan kemenangan kami. Keputusan dibuat demi pasukan dan akan ada peluang untuk semua pemain,” kata Alonso.

Aksi itu turut menyaksikan Franco Mastantuono, pemain muda Argentina berusia 18 tahun membuat penampilan sulung dan beraksi pada masa penuh.

Beliau mencuri tumpuan awal dengan aksi lincah menggelecek dua pertahanan Oviedo sebelum dijatuhkan namun rayuan penalti tidak dilayan pengadil.

Sementara itu, penjaga gol Thibaut Courtois mudah menafikan cubaan jarak jauh Leander Dendoncker manakala rembatan Arda Guler hampir menghasilkan gol tetapi diselamatkan cemerlang oleh penjaga gol Oviedo, Aaron Escandell. -AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN