fb fb fb fb fb

Kyrgios tewaskan Sabalenka dalam ‘Battle of the Sexes’

Foto AFP

DUBAI, 29 Disember – Nick Kyrgios menewaskan pemain nombor satu dunia wanita, Aryna Sabalenka, 6-3, 6-3 dalam perlawanan pameran ‘Battle of the Sexes’ di Dubai pada Ahad, perlawanan yang menarik perhatian ramai tetapi menimbulkan kontroversi kerana peraturan yang diubahsuai.

Perlawanan itu menggunakan format khas, termasuk satu servis sahaja bagi setiap pemain dan saiz gelanggang Sabalenka dikurangkan sembilan peratus, bagi mengimbangi kelebihan kuasa dan kelajuan Kyrgios.

Kyrgios, finalis Wimbledon 2022 mengakui perlawanan itu sukar dan memuji kebolehan Sabalenka.

"Dia pemain hebat dan juara sebenar. Saya terpaksa memberi tumpuan sepenuhnya kerana dia mematahkan servis saya beberapa kali," kata Kyrgios, sambil menambah beliau bersedia untuk perlawanan ulangan.

Sabalenka pula menegaskan dia teruja untuk berdepan Kyrgios sekali lagi.

"Saya rasa saya memberi tentangan yang hebat. Saya membuat banyak pukulan baik, bergerak ke net dan mencipta aksi menarik. Akan datang, saya tahu taktikal dan kelemahan dia, jadi ia akan menjadi perlawanan lebih baik," katanya.

Perlawanan itu menarik perhatian kerana ia menghidupkan semula tema bersejarah ‘Battle of the Sexes’, yang pertama kali diadakan pada 1973 antara Billie Jean King dan Bobby Riggs, tetapi kali ini tiada implikasi sosial yang besar, dan lebih menekankan hiburan serta tontonan global. -AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN