KUALA LUMPUR, 25 Ogos - Meskipun berada di penghujung karier, pelumba Uno-X Mobility ProTeam, Alexander Kristoff, tetap dianggap antara pencabar yang wajar diberi perhatian pada perlumbaan berprestij Le Tour de Langkawi 2025 (LTdL25) yang berlangsung dari 28 September hingga 5 Oktober depan.
Dengan 98 kemenangan sepanjang 20 tahun karier profesionalnya, Kristoff memiliki pengalaman luas untuk menambah koleksi kejayaan di LTdL25, apatah lagi laluan setiap peringkat tahun ini dilihat cukup sesuai dengan kelebihan dimilikinya sebagai pakar pecut dan puncheur yang gemar melakukan pecahan solo.
Walaupun tumpuan turut terarah kepada rakan sepasukannya, Erlend Blikra, iaitu Raja Pecut 2022, yang dijangka mengulangi pencapaian gemilang tiga tahun lalu terutama di peringkat jarak jauh seperti Peringkat 3 (Gerik–Pasir Puteh), Peringkat 7 (Melaka–Medini) dan Peringkat 8 (Tangkak–KLCC), gaya perlumbaan itu turut memberi kelebihan kepada Kristoff yang sinonim dengan kejohanan klasik sehari.
Ketua Pegawai Operasi LTdL25, Emir Abdul Jalal / Foto BERNAMA
Ketua Pegawai Operasi LTdL25, Emir Abdul Jalal, menyifatkan penyertaan Kristoff pada edisi ke-29 itu sebagai satu penghormatan besar buat peminat berbasikal tanah air, lebih-lebih lagi pelumba berusia 38 tahun itu mengumumkan bakal bersara hujung musim ini.
“Walaupun Kristoff sudah melepasi zaman kegemilangannya, kehadirannya di LTdL25 tetap mampu menarik peminat. Dengan pengalaman luas dalam Grand Tours dan perlumbaan klasik monument, tidak mustahil beliau terus menambah koleksi kemenangannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pelumba Uno-X Mobility ProTeam, Alexander Kristoff / Foto cyclingnews.com
Kristoff yang dianggap antara pelumba Norway paling berjaya dalam sejarah, pernah berada di ranking kedua dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) pada 2015 selain menduduki tempat kedua Kejohanan Dunia 2017.
Beliau mula mencipta nama bersama pasukan Glud & Marstrand-Horsens pada 2006 sebelum menyarung jersi pasukan ternama seperti BMC Racing, Team Katusha, UAE Team Emirates dan Intermarche-Wanty Gobert, sebelum menyertai Uno-X pada 2023.
Sepanjang karier, Kristoff meraih empat kemenangan peringkat di Tour de France serta kejuaraan klasik monument termasuk Milan-San Remo, Gent-Wevelgem dan Tour of Flanders. Malah, musim ini saja beliau sudah memenangi dua perlumbaan iaitu Peringkat 3 Vuelta a Andalucia dan Peringkat 2 Arctic Race of Norway pada 8 Ogos lepas.
Menurut Emir, kehadiran Blikra turut dijangka memanaskan saingan merebut gelaran Raja Pecut yang bakal menyaksikan cabaran daripada jaguh pecut antarabangsa termasuk juara bertahan Matteo Malucelli, Gleb Syritsa (XDS Astana), Alberto Dainese (Tudor), Manuele Tarozzi (Bardiani) dan Fabio Jakobsen (Picnic PostNL).
Sementara itu, Uno-X dijangka meletakkan harapan kepada tiga pelumba – Amund Grondahl Jansen, Anders Halland Johanessen dan Johannes Kulset – bagi merebut jersi hijau keseluruhan tajaan Petronas, hasil kombinasi pengalaman dan kekuatan mereka di laluan berbukit serta rata.
Edisi ke-29 LTdL25 akan merentasi 12 negeri Semenanjung dengan jarak keseluruhan 1,243.5 kilometer (km), bermula di Pulau Langkawi pada 28 Sept dan berakhir di KLCC pada 5 Oktober. - BERNAMA