fb fb fb fb fb

Kontroversi babitkan skuad terjun hanya masalah komunikasi

Hannah menjawab pertanyaan media selepas pada Cabaran Lompat Tinggi ‘Leap To The Stars’ 2024

PETALING JAYA, 18 Februari- Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan tiada campur tangan pihak ketiga, tiada entiti dan tiada kemelut dalaman disebalik kegagalan skuad terjun di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, minggu lalu.

Beliau turut menegaskan komunikasi antara atlet, jurulatih dan persatuan renang Malaysia perlu memperbaiki kelemahan susulan kegagalan itu.

Jelas Hannah, beliau telah mendapat penjelasan daripada penerjun wanita negara, Datuk Pandelela Rinong yang sebelum ini membayangkan wujud kemelut sehingga menjejaskan prestasi atlet negara di Doha.

"Ini adalah masalah yang kita boleh tangani dan itu adalah penting. Saya akan berjumpa dengan persatuan dan jurulatih untuk mendengar cerita mereka dan kita akan pastikan kita cari jalan untuk perbaiki," katanya.

Sementara itu, Hannah memaklumkan teka-teki mengenai status penerjun lelaki negara, Bertrand Rhodict Lises dalam program Road To Gold (RTG), bakal terjawab selepas mesyuarat jawatankuasa program itu hujung bulan ini.

Hannah berkata biarpun Bertrand bukan atlet di bawah program RTG, Majlis Sukan Negara tetap memberi sokongan penuh kepadanya untuk menjalani persiapan membuat penampilan sulungnya di Sukan Olimpik 2024 di Paris, Julai ini.

“Kita nantikan, (status Bertrand) akan dibincangkan dalam (mesyuarat jawatankuasa) RTG,” katanya ketika ditemui pemberita pada Cabaran Lompat Tinggi ‘Leap To The Stars’ 2024.

Biarpun telah melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024, Bertrand tidak menepati dua kriteria utama RTG iaitu atlet yang pernah memenangi pingat di temasya sukan terbesar dunia itu dan berada dalam ranking 10 terbaik dunia.

Bertrand merupakan wakil tunggal terjun negara di Paris selepas penerjun lain negara termasuk bekas pemenang pingat Sukan Olimpik, Pandelela Rinong selain Nur Dhabitah Sabri gagal melayakkan diri susulan prestasi mengecewakan di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, baru-baru ini.

Atlet dari Sarawak itu berjaya menempah tiket ke Paris menerusi acara 10 meter (m) platform individu ketika beraksi di Kejohanan Akuatik Dunia di Fukuoka, Jepun, tahun lepas.

Pandelela dan Nur Dhabitah pula berdepan risiko disingkirkan daripada program RTG selepas terlepas peluang beraksi Sukan Olimpik.

RTG merupakan program sokongan khas tambahan untuk membantu atlet elit mencapai pingat emas Olimpik pertama negara di Paris 2024 atau Los Angeles 2028.

Atlet bawah program RTG menerima elaun tambahan RM3,000 sebulan (di atas elaun biasa), serta faedah istimewa lain dari segi kepakaran sains sukan, penyertaan dalam kejohanan luar negara dan kejurulatihan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE