fb fb fb fb fb

KLBA komited pastikan Kuala Lumpur jadi hub utama lahir permata sukan badminton

Presiden KLBA, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos

KUALA LUMPUR, 16 Jun- Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA) mahu memastikan Kuala Lumpur sebagai hub utama melahirkan permata baharu sukan badminton di Malaysia menerusi inisiatif Program Jejak Juara yang dilancarkan pada 2022.

Presiden KLBA, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata hasrat itu bakal jadi kenyataan menerusi pelaksanaan Kejohanan Badminton Tertutup Projek Jejak Juara Kuala Lumpur.

Beliau berkata, kejohanan edisi kedua pada tahun ini masih mengekalkan objektif untuk memilih pemain pemain yang terbaik bagi diserap ke dalam Pusat Latihan Daerah (PLD).

"Pembangunan sukan di peringkat nasional satu perkara yang sangat mencabar dan kompleks kalau lihat di seluruh dunia pun ada pemain yang harini okey tapi di kejohanan lain sebaliknya.

"Oleh itu kita perlu kaji kenapa perkara itu berlaku, kita kena lihat benda baru seperti psikologi persekitaran,"katanya.

Kejohanan Badminton Tertutup Projek Jejak Juara Kuala Lumpur 2024 yang menutup tirainya hari ini melibatkan persaingan bagi kategori perseorangan lelaki dan perempuan melibatkan kumpulan umur bawah 8, 10, 12, 14, 16 & 18 tahun.

Tambahnya, kejohanan edisi tahun lepas telah diiktiraf oleh Malaysia Book Of Records kerana telah memecah rekod penyertaan paling ramai di Malaysia, iaitu lebih daripada 3500 dari seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE