LONDON, 5 Jan - Manchester United memecat Ruben Amorim selepas 14 bulan menjadi ketua jurulatih gergasi Liga Perdana Inggeris itu.
Pemecatan pengurus dari Portugal itu susulan ketegangan yang semakin meningkat antara Amorim dengan hierarki pasukan, termasuk Pengarah Bola Sepak Man Utd, Jason Wilcox, sejak kebelakangan ini.
Red Devils, yang berada di tangga keenam Liga Perdana mengeluarkan kenyataan mengatakan Amorim telah meletakkan jawatannya sebagai ketua jurulatih Manchester United.
"Kepimpinan kelab dengan berat hati telah membuat keputusan bahawa sudah tiba masanya untuk membuat perubahan.
"Ini akan memberi peluang terbaik kepada pasukan untuk menamatkan saingan Liga Perdana setinggi mungkin.
"Kelab ingin mengucapkan terima kasih kepada Amorim atas sumbangannya kepada kelab dan mendoakan yang terbaik untuknya pada masa hadapan," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, jurulatih skuad bawah 18 tahun, Darren Fletcher, akan mengendalikan pasukan utama United menentang Burnley, Rabu ini.
Amorim dipecat kurang daripada 24 jam selepas membuat beberapa komen yang menarik perhatian di Elland Road, di mana beliau menekankan bahawa beliau adalah pengurus United dan bukannya "hanya jurulatih".
Amorim juga berulang kali mencadangkan kepada media bahawa beliau akan pergi apabila kontraknya tamat dalam masa 18 bulan.
Tetapi laporan mengatakan keputusan United untuk memecat pengurus mereka adalah disebabkan oleh kekurangan evolusi dan kemajuan semasa tempoh 14 bulannya dan bukannya perebutan kuasa.
Sepanjang kendalian Amorim, Red Devils hanya memenangi 25 daripada 63 perlawanan dalam semua pertandingan.
Amorim tiba di Old Trafford untuk menggantikan Erik ten Hag pada November 2024 sebagai salah seorang jurulatih paling menjadi tumpuan selepas kejayaannya di Sporting Lisbon, di mana beliau memenangi dua gelaran liga.
Tetapi beliau bergelut teruk pada musim pertamanya sebagai jurulatih apabila United merosot ke tempat ke-15 dalam Liga Perdana -- kempen terburuk mereka selama 51 tahun.
Amorim memimpin pasukan ke perlawanan akhir Liga Europa di Bilbao pada bulan Mei tetapi mereka tewas kepada Tottenham, bermakna mereka terlepas peluang ke perlawanan bola sepak Eropah musim ini.
United telah membuat sedikit peningkatan semasa kempen Liga Perdana musim ini tetapi tidak konsisten, hanya memenangi lapan daripada 20 perlawanan liga mereka setakat ini, dan kini 17 mata di belakang pendahulu Arsenal. -AFP
Kempen Amorim merupakan tempoh terpendek bagi mana-mana pengurus di United sejak David Moyes dipecat hanya lapan bulan selepas tempoh perkhidmatannya pada tahun 2014.
Manchester United, juara Inggeris 20 kali, tidak pernah memenangi Liga Perdana sejak 2013, ketika di bawah bimbingan Alex Ferguson.
Bekas pemain tengah United, Fletcher, merupakan pengarah teknikal kelab antara 2021 dan 2024, tetapi beliau tidak pernah memegang jawatan kejurulatihan kanan. - AFP