fb fb fb fb fb

Jun Hao lebih selesa dengan corak latihan Asia

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Jan - Perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao berharap perubahan corak latihan daripada pendekatan Eropah kepada kaedah berteraskan Asia mampu memberi nafas baharu dalam perjalanan kariernya pada masa akan datang.

Pemain berusia 26 tahun itu mengakui berdepan kesukaran menyesuaikan diri dengan gaya latihan Eropah yang diterapkan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kebangsaan, Kenneth Jonassen, sehingga menyebabkan prestasinya kurang memberangsangkan sepanjang musim 2025.

Jun Hao hanya berjaya mara ke peringkat suku akhir sebanyak dua kali daripada 19 kejohanan yang disertainya tahun lalu.

"Sejak kecil saya sudah biasa dengan corak latihan Asia dan mungkin perubahan ini sesuatu yang baik untuk saya mencari kembali prestasi terbaik seperti sebelum ini," katanya ketika ditemui pada sesi ujian gelanggang Terbuka Malaysia 2026 di Axiata Arena Bukit Jalil, hari ini.

Pencapaian terbaik Jun Hao sebelum ini termasuk menjuarai Masters Indonesia 2022 dan Super 100 Malaysia 2023, selain muncul naib juara Masters Jepun 2024.

Terdahulu jurulatih dari Denmark itu dilaporkan telah kembali menggunakan pendekatan latihan berteraskan Asia selepas mendapati sebahagian pemain negara menghadapi kesukaran menyesuaikan diri dengan falsafah Eropah yang diperkenalkan pada peringkat awal pelantikannya bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) awal tahun lalu.

Sementara itu, Jun Hao bertekad memulakan kempen Terbuka Malaysia 2026 dengan langkah kanan apabila dijadualkan bertemu pemain ke-29 dunia dari China, Wang Zheng Xing, selepas tersingkir awal pada edisi tahun lalu.

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello