(Datuk Seri Shahidan Kassim)
KUALA LUMPUR, 23 Ogos- Kelab Bola Sepak Kuala Lumpur (KL City FC) hari ini mengumumkan pelantikan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim sebagai penaungnya.
Turut merangkap selaku Presiden KLFC, beliau akan bertindak sebagai penjaga dan penasihat dalam mana-mana perkara berkaitan bola sepak demi kepentingan kelab.
Presiden KLFA, Khalid Samad dalam satu kenyataan media mengesahkan perkara tersebut.
“Sebagai Presiden KLFA, saya amat berbesar hati mengumumkan bahawa Datuk Seri Shahidan telah menerima tawaran kami untuk bertindak sebagai Presiden KL City FC semasa menjadi Menteri Wilayah Persekutuan,” kata Khalid.
“Ini menandakan peranan sukan dan bola sepak khususnya, sebagai kuasa penyatuan di mana orang yang berbeza gabungan politik seperti saya dan beliau, boleh bersatu untuk kebaikan bola sepak di Kuala Lumpur.
“Saya percaya melalui peranan Datuk Seri Shahidan sebagai Presiden KL City FC, bersama-sama, kami boleh membawa kelab ke tahap kejayaan dan pencapaian yang lebih tinggi.”
Datuk Seri Shahidan, merupakan satu nama yang tidak asing lagi dalam industri sukan Malaysia.
Beliau kini turut berkhidmat sebagai Presiden untuk Persekutuan Renang Malaysia dan Persekutuan Olahraga Malaysia.
Penglibatan luas beliau dalam sukan akan menjadi aset yang tidak ternilai untuk KL City FC.
Kenyataan itu turut menyebut, pelantikan Datuk Seri Shahidan sejajar dengan perjalanan KL City FC yang semakin berkembang dan diharap melalui bimbingan dan kebijaksanaan beliau, kelab ibu kota itu dapat mencapai visi dan misi yang telah dibentangkan.
(Datuk Seri Shahidan Kassim)