KUALA LUMPUR, 25 Disember - Bekas ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee dilantik sebagai Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang baharu berkuat kuasa 1 Disember 2025, menggantikan Oscar Francisco Gonzalez.
Dalam kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan pelantikan itu diumumkan Pemangku Presidennya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, Isnin lalu.
Keputusan berkenaan dibuat oleh Jawatankuasa Teknikal NFDP yang dipengerusikan Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN).
Datuk Ong Kim Swee yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), dipilih berdasarkan pengalaman luas dalam pembangunan akar umbi dan pengurusan teknikal, termasuk pernah berkhidmat di Sekolah Sukan Bukit Jalil, menerajui Harimau Muda serta menjadi ketua jurulatih Harimau Malaya pada 2016.
Antara pencapaiannya ialah emas Sukan SEA 2011, juara Pestabola Merdeka 2013, perak Sukan SEA 2017, mara ke suku akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 dan layak ke peringkat kalah mati Sukan Asia 2018, selain kejayaan di peringkat liga domestik.
Beliau turut pernah memegang jawatan teknikal utama FAM dan mengemudi beberapa kelab termasuk Sabah FC, sebelum menimba pengalaman di Indonesia bersama Persis Solo dan Persik Kediri.
Pelantikan itu diharap dapat memperkukuh semula pembangunan bola sepak negara, khususnya di peringkat akar umbi, melalui pelaksanaan NFDP yang lebih tersusun dan berkesan.