RABAT, 25 Disember – Kapten pasukan Algeria, Riyad Mahrez mempamerkan aksi cemerlang apabila meledak dua gol untuk membantu pasukannya mencatat kemenangan bergaya 3-0 ke atas Sudan dalam perlawanan pembukaan Kumpulan E Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), pada Rabu.
Bintang pasukan Al-Ahli dari Arab Saudi itu membuka tirai jaringan seawal minit kedua sebelum menggandakan kelebihan Algeria pada minit ke-61, sekali gus mengukuhkan status pasukannya sebagai antara pencabar utama kejohanan.
Manakala gol ketiga Algeria disumbangkan oleh Ibrahim Maza pada minit ke-85.
Mahrez yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan, menegaskan sasaran Algeria adalah untuk melangkah sejauh mungkin dalam kejohanan tersebut.
Beliau berkata matlamat utama pasukan adalah mara ke perlawanan akhir dan setiap kejohanan disertai dengan sasaran tinggi, bukan sekadar pelengkap jadual.
Sementara itu jurulatih Sudan, Kwasi Appiah mengakui pasukannya berdepan cabaran besar khususnya kekurangan perlawanan kompetitif di peringkat domestik sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang menyukarkan proses pemilihan pemain.
Perlawanan itu turut menyaksikan penampilan penjaga gol Luca Zidane, anak kepada legenda bola sepak Perancis, Zinedine Zidane yang diturunkan dalam kesebelasan utama Algeria.
Ketua jurulatih Algeria, Vladimir Petkovic, memuji persembahan Luca yang disifatkan memberi keyakinan kepada pasukan, khususnya dalam penguasaan bola dan kawalan kawasan penalti.
Dalam satu lagi aksi Kumpulan E, Burkina Faso memulakan kempen mereka dengan kemenangan 2-1 ke atas Guinea Khatulistiwa. -VIORY