fb fb fb fb fb

Sukan SEA Thailand: Kontinjen Malaysia perlu lonjakan luar biasa untuk lebih cemerlang - penganalisis

Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Disember - Kontinjen Malaysia memerlukan lonjakan luar biasa untuk lebih cemerlang dalam prestasi sukan negara, tegas penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli.

Jelas beliau, pencapaian kontinjen Malaysia yang menamatkan kempen Sukan SEA Thailand 2025 lalu di kedudukan keempat keseluruhan dengan kutipan 231 pingat disifatkan sebagai sederhana.

Walaupun keputusan itu memberi kelegaan selepas prestasi kurang memberangsangkan di Vietnam dan Kemboja, ia masih tidak mencerminkan lonjakan luar biasa sukan negara.

Menurut Datuk Dr Pekan, perbandingan dengan Sukan SEA Korat 2007 jelas menunjukkan kualiti pencapaian ketika itu jauh lebih baik, meskipun jumlah pingat keseluruhan kali ini lebih tinggi.

"Di Korat, Malaysia menghantar hanya sekitar 439 atlet, namun berjaya mengutip 68 pingat emas dan menduduki tempat kedua keseluruhan. Kali ini, dengan 1,138 atlet, Malaysia hanya mengumpul 57 emas dan berada di tangga keempat," kata beliau ketika dihubungi RTM di sini, hari ini.

Beliau berkata perbandingan tidak boleh dibuat secara mudah berdasarkan jumlah pingat semata-mata kerana terdapat perbezaan besar dari segi saiz kontinjen, jumlah acara dan jumlah pingat ditawarkan.

Di Sukan SEA Korat 2007, hanya 43 sukan dipertandingkan dengan 475 pingat keseluruhan, berbanding 50 sukan dan 574 pingat di Thailand 2025.

Tambahnya, peningkatan kutipan pingat keseluruhan juga dipengaruhi beberapa faktor luaran termasuk pengunduran saat akhir Kemboja, yang menyebabkan agihan pingat menjadi lebih meluas kepada negara peserta lain.

"Malaysia bertanding hampir dalam semua acara utama, menghantar atlet senior dan pelapis, namun pulangan emas masih lebih rendah. Ini menunjukkan keberkesanan pencapaian belum berada pada tahap optimum," katanya.

Bagi beliau, pencapaian melepasi sasaran 200 pingat boleh dianggap memadai, manakala kedudukan keempat keseluruhan adalah sesuai dengan saiz kontinjen yang besar, namun tidak boleh dilabel sebagai pencapaian cemerlang, apatah lagi pencapaian terbaik luar Kuala Lumpur.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN