fb fb fb fb fb

MHC kerjasama dengan RSC anjur Kejohanan Hoki Veteran

(Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal)

BUKIT JALIL, 5 Julai - Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) buat julung kalinya bakal menganjurkan Kejohanan Hoki Antarabangsa Veteran 9 Sebelah 2022 selepas ia mendapat kerjasama daripada Kelab Diraja Selangor (RSC).

Kejohanan itu bakal membabitkan pasukan-pasukan dalam negara dan juga kelab hoki di luar negara.

Menurut Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal, kejohanan tersebut sudah pun diwar-warkan kepada komuniti hoki dunia dengan kelab hoki dari Australia, Indonesia dan Singapura dijangka akan mengambil bahagian.

"Harapan saya juga adalah supaya kejohanan (hoki veteran) ini akan dapat dianjurkan (secara) tahunan, saya pun sudah buat susulan dengan pihak Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), di mana kita akan maklum sekiranya pihak FIH boleh memberikan satu pengiktirafan kepada kejohanan ini dan kita harap ia dapat diselitkan dalam kalendar tahunan mereka," kata beliau dalam sidang media, di sini hari ini.


(Foto fail/MHC)

Tambah Subahan, format pertandingan masih dalam peringkat perbincangan dan ia dijangka akan melibatkan pemain berusia 40 hingga 50 tahun.

Sebelum ini, RSC pernah menganjurkan kejohanan hoki veteran yang mendapat penyertaan sebanyak lapan buah pasukan.

Namun dengan kerjasama MHC, ia diharapkan mampu menarik penyertaan lebih 20 pasukan.

Kejohanan Hoki Antarabangsa Veteran 9 Sebelah 2022 akan membuka tirai pada 18 hingga 20 Julai ini di RSC, Bukit Kiara.

Media Baharu