KUALA LUMPUR, 13 Disember - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengesahkan perlawanan persahabatan antarabangsa antara skuad Harimau Malaya dan Arab Saudi bulan depan terpaksa dibatalkan.
Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman berkata aksi menentang pasukan ranking ke-56 dunia itu yang dijadual berlangsung pada 4 Jan dibatalkan atas permintaan ketua jurulatih baharu Arab Saudi Roberto Mancini.
Beliau berkata Arab Saudi memaklumkan Mancini mencongak skuad kendaliannya berkemungkinan bertemu Malaysia di pusingan 16 terbaik Piala Asia 2023 di Doha, Qatar dari 12 Jan sehingga 10 Feb depan.
"Ini kerana, jika Arab Saudi muncul juara Kumpulan F dan Malaysia pula menjadi naib juara Kumpulan E, kedua-dua pasukan bakal bertemu di pusingan 16 terbaik pada 30 Jan," katanya dalam kenyataan kepada Bernama, hari ini.
Menurut Noor Azman, perlawanan persahabatan itu adalah aksi pemanas badan menjelang Piala Asia dan ia sudah lama dirancang dan dipersetujui kedua-dua pasukan sebelum ini.
Mancini, pengendali dari Itali antara jurulatih berprofil tinggi yang memiliki pengalaman luas di peringkat kelab dan pasukan kebangsaan dengan rekod cemerlang bersama Manchester City dan Inter Milan, selain membimbing Itali muncul juara Eropah pada Euro 2020.
Bernama difahamkan FAM sedang berusaha mendapatkan pasukan setaraf dengan Arab Saudi ataupun sekurang-kurangnya menepati tuntutan diperlukan pasukan bimbingan Kim Pan Gon bagi mengharungi kempen Piala Asia, nanti.
Dengan masa yang singkat, FAM dijangka berdepan tugas mencabar apabila kebanyakan pasukan masing-masing sudah memuktamadkan aksi persahabatan lebih awal.
Malaysia yang berjaya layak ke Piala Asia secara merit selepas 42 tahun akan membuka kempen Kumpulan E bertemu Jordan pada 15 Jan diikuti Bahrain (20 Jan) dan pasukan pilihan yang juga juara dua kali, Korea Selatan pada 25 Jan.
Pan Gon menyasarkan untuk membawa skuad Harimau Malaya mencipta sejarah melepasi saingan peringkat kumpulan di Doha. - BERNAMA