IPOH, 12 Oktober- Kerja menaik taraf padang di Stadium Perak, Ipoh akan dimulakan hujung Oktober ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata lantikan kontraktor telah dibuat oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) selaku pemilik stadium tersebut.
Pihaknya akan memberi laluan kepada penganjuran Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) terlebih dahulu, sebelum kerja naik taraf bermula.
Proses itu dijangka siap Jun 2025 sebelum pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menentukan sama ada padang itu boleh digunakan atau tidak.
"Pihak MFL akan membuat pemeriksaan. Kalau sistem dan padang sesuai, mungkin perlawanan untuk Liga Super pada musim akan datang akan berlangsung di Stadium Ipoh, Perak," kata Khairudin kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui pada Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Negeri Perak yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, di Ipoh, pagi tadi.
Ketika proses naik taraf berlaku, baki perlawanan Liga Super melibatkan pasukan Perak FC dipindahkan ke Stadium Majlis Perbandaran Manjung.
Perlawanan pertama skuad The Bos Gaurus di stadium itu adalah bertemu Sabah FC, 19 Oktober depan.