KUALA LUMPUR, 8 Februari - Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan beberapa ahli gabungan mempersoal kenyataan Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof yang disifatkan tidak kena pada waktunya.
Kenyataan itu dibuat susulan keengganan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) berkompromi dengan PSM selepas dilapor secara berterusan melanggar peraturan ditetapkan mereka.
PJS memberi bayangan sukan sepak takraw negara hanya boleh diselamatkan jika ada entiti baharu setara dengan badan induk itu di peringkat antarabangsa.
Menurut Ibrahim, ketiadaan entiti baharu yang boleh menggantikan PSM menyebabkan sukan sepak takraw tersekat di peringkat domestik sekali gus memberi impak buruk terhadap masa depan sukan itu di negara ini.
Ia tamparan hebat buat Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang dijadual mengadakan pemilihan baharu bagi penggal 2022-2025 pada 12 Februari ini.
Sementara itu, Naib Presiden PSM yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan, Datuk Sumali Reduan mengajak semua pihak untuk duduk semeja mencari jalan terbaik mengatasi kemelut.