KUALA NERUS, 19 Oktober- Kuching City FC berjaya mencipta kejutan apabila menewaskan Terengganu FC (TFC) 4-1, dalam aksi suku akhir Piala Malaysia pada Sabtu.
Saingan yang berlangsung di laman Sang Penyu itu menyaksikan skuad The Cats tampil dengan disiplin yang tinggi serta pelaksanaan taktikal yang berkesan oleh barisan pemainnya.
Ketua jurulatihnya, Aidil Shahrin Sahak menegaskan kemenangan itu adalah hasil kerja keras dan komitmen semua pemain yang berjaya menterjemah rancangan sepanjang latihan.
"Saya bukanlah seperti Jose Mourinho yang datang ke sini semata-mata untuk mencari nama. Semua ini adalah hasil usaha pemain. Saya rasa mereka bekerja keras malam ini dan benar-benar mengikut pelan taktikal yang telah kita rancang.
Sebelum perlawanan ini, hampir semua pasukan yang bertemu kami kecuali JDT, biasanya bolos dua atau tiga gol pada separuh masa pertama. Jadi, kami buat persediaan rapi, kita berjaya mengelakkan perkara itu, malah kita pula yang menjaringkan gol," kata Aidil kepada pemberita.
Tambah Aidil, pasukan bimbingannya itu tidak akan terlalu selesa menjelang aksi timbal balik dan akan terus mengekalkan corak permainan menyerang bagi memastikan kelebihan berpihak kepada mereka.
“Dari segi gaya permainan, kami bukan jenis pasukan yang hanya duduk bertahan apabila mendahului.
Kami mahu bermain dengan cara yang menarik dan menghiburkan penyokong dengan aliran bola yang lancar, semangat menyerang, supaya peminat yang hadir benar-benar gembira dan terhibur," jelas Aidil.
Sementara itu, Ketua Jurulatih TFC, Badrul Afzan Razali, mengakui kelemahan komunikasi antara pemain menjadi punca utama jaringan lawan, selain beberapa kesilapan mudah di kawasan sendiri.
“Sekarang kita ada tempoh rehat selama sepuluh hari sebelum aksi di Kuching. Kami akan memperbaiki kesilapan malam ini, kekal positif dan memberikan yang terbaik ketika beraksi di tempat lawan nanti," kata Badrul Afzan kepada pemberita.
Dengan kemenangan itu, Kuching City FC membawa bekalan selesa ke aksi timbal balik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin manakala TFC bertekad mencari kebangkitan di hadapan penyokong sendiri.
Aksi penentuan itu bakal berlangsung minggu depan di Kuala Terengganu, dengan kedua-dua pasukan kini giat melakukan persiapan akhir bagi merebut tempat ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini.