KUALA LUMPUR, 22 Januari - Kemelut yang melanda pemain perseorangan terbaik negara, Lee Zii Jia perlu segera diselesaikan atau negara bakal kehilangan bakat muda ini.
Itu pandangan pemerhati sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa yang menyifatkan sekatan yang dikenakan ke atas Pemain Ranking ke-7 dunia itu hanya akan menjerat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sendiri.
Tiga pilihan, terus dipinggirkan selama dua tahun, memilih beraksi bersama negara lain, atau membawa perkara ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan.
Menurut Sadek, jika Zii Jia memilih solusi kedua, ia sudah pasti akan merugikan negara dan memberi tamparan hebat buat BAM.
"Kalau pergi dekat negara Scandinavia, saya rasa Lee Zii Jia akan mendapatkan kerakyatan penduduk tetap dengan begitu mudah."
"Kebanyakan pemain Scandanavia adalah pemain profesional, mereka tidak hirau dan akan berikan semua fasiliti. Kita lihat pilihan yang ada pada Zii Jia kalau bermain dengan negara negara-negara ini, saya rasa mereka akan mendapat semua kemudahan yang akan diberikan oleh penaja-penaja mereka," tambahnya.
"Kalau ada orang yang ingin menjadi bapa angkat pada dia dan memberikan negara angkat pada dia, saya rasa Lee Zii Jia akan menyerlah dan kita akan rugi."
Sadek turut menyamakan situasi yang berlaku pada Zii Jia hari ini seperti apa yang pernah dialami Legenda Datuk Misbun Sidek semasa era 80-an.
"BAM cuba mengulangi zaman Apache yang berlaku ketika mengendalikan Datuk Misbun satu ketika dahulu. BAM bernasib baik kerana kita ada Allahyarham Tan Sri Alyas Omar yang menjernihkan semula ketegangan yang berlaku. Akhirnya kita berjaya memenangi Piala Thomas semula," kata beliau yang ditemui secara eksklusif bersama RTM.
Terdahulu, BAM mengumumkan menggantung penyertaan Lee Zii Jia di kejohanan antarabangsa selama dua tahun bermula 18 Januari lalu.
Ia sebagai hukuman atas tindakannya keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).