IPOH, 22 Januari - Dana bernilai RM10 juta yang diterima Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Isnin lalu, perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.
Peruntukan itu diberikan kerana menyedari persatuan tersebut memerlukan dana yang besar untuk kembali pulih selepas terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjelaskan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beberapa liga akar umbi tidak dapat beroperasi sekali gus menyukarkan mereka untuk memperoleh pendapatan.
Pada masa sama, beliau berkata pemberian dana kepada FAM, bukan penyebab kepada pemotongan elaun dan penamatan kontrak atlet sukan lain.
"Perkara itu sedang kami ambil perhatian dan akan cuba kami dapatkan seberapa ramai lagi atlet dan menambah seberapa banyak elaun yang boleh.
"KBS dan kerajaan perlu berbelanja mengikut kemampuan. Itu yang sedang kami lakukan dan Insya-Allah apa jua permasalahan atlet kesedihan atau kesusahan yang sedang dialami, kami sedang ambil perhatian yang serius dan akan pastikan permasalahan mereka itu dapat dirungkai," kata Faizal selepas merasmikan pembukaan Akademi Tunas (AT) Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) di Padang Awam Tanjung Rambutan.
Penubuhan AT tersebut merupakan yang ke-54 di negara ini.