KUALA LUMPUR, 30 Oktober- Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menegaskan pihaknya kesuntukan masa untuk menunggu penyelesaian isu antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan FIFA, yang boleh menjejaskan urusan serta perancangan kejohanan peringkat benua.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John berkata segala tindakan bergantung kepada keputusan rayuan terakhir FAM, sama ada di Jawatankuasa Rayuan FIFA atau Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
"Selepas keputusan akhir diperoleh, AFC akan meneliti laporan penuh sebelum Jawatankuasa Disiplin kami membuat keputusan lanjut. Kami harap semuanya selesai sebelum 31 Mac 2026, iaitu tarikh akhir pusingan kelayakan Piala Asia 2027," katanya.
FAM sebelum ini merayu terhadap keputusan FIFA yang mendenda badan induk itu sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta) serta menggantung tujuh pemain warisan selama 12 bulan berhubung kes pemalsuan dokumen.
Antara pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Terdahulu, Peguam FAM, Serge Vittoz memaklumkan keputusan rayuan dijangka diketahui hari ini.