fb fb fb fb fb

Skuad gimnastik artistik lelaki buru emas di Thailand

Gimnas negara menjalani latihan di Bukit Jalil / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Oktober - Skuad gimnastik artistik lelaki negara menyasarkan untuk membawa pulang pingat emas pada temasya Sukan SEA 2025 di Thailand yang dijadual berlangsung bermula 9 hingga 20 Disember depan.

Jurulatih kebangsaan, Ng Shu Wai berkata pasukan kini berada di fasa terakhir persiapan selepas anak buahnya menjalani latihan di Jepun dan menyertai Kejohanan Dunia di Jakarta.

"Prestasi setakat ini masih boleh ditambah baik. Fokus kami sekarang ialah menilai kekuatan lawan seperti Thailand, Singapura dan Vietnam supaya kita boleh susun strategi lebih baik untuk capai sasaran di Sukan SEA," katanya.

Menurutnya, harapan membawa pulang pingat emas itu diletakkan apabila bintang Filipina, Carlos Yulo, dijangka tidak akan beraksi di Thailand nanti.

"Kalau betul dia tak sertai, peluang untuk kita menang emas memang ada. Tapi sukan ni sangat subjektif, semuanya bergantung pada prestasi semasa atlet," katanya ketika ditemui semasa sesi latihan di sini, hari ini.

Sementara itu, gimnas negara Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam bertekad mahu menebus kekecewaan selepas gagal menyerlah di kejohanan dunia.

"Kejohanan dunia itu perlawanan pertama saya selepas cedera, jadi prestasi memang tak memuaskan. Di Sukan SEA nanti saya nak buktikan kami boleh tukar warna pingat kalau boleh, emas," katanya.

Sharul yang baru pulih daripada kecederaan lutut selepas pembedahan meniskus berkata tempoh persiapan singkat tidak sesekali mematahkan semangatnya.

"Saya cuma ada tiga bulan untuk bersedia, tapi saya akan buat yang terbaik. Dulu saya dah empat kali patah kaki, jadi mental saya dah kuat. Sekarang cuma fokus untuk perform clean dan mendarat dengan kemas," jelasnya.

Pada edisi lalu, pasukan gimnastik artistik lelaki negara menamatkan saingan acara berpasukan All Around dengan meraih pingat gangsa pada temasya yang berlangsung di Phnom Penh, Kemboja.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID