fb fb fb fb fb

Kelayakan Piala Asia 2027: Faisal Halim kembali disenaraikan

Pemain sayap Selangor, Faisal Halim / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Mac-Pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim kembali disenaraikan semula ke skuad Harimau Malaya setahun selepas cedera akibat serangan asid.

Ketua jurulatih Malaysia, Peter Cklamovski, menyenaraikan Faisal dalam skuad 27 pemain menjelang aksi kelayakan Piala Asia menentang Nepal pada 25 Mac.

Sejak membuat penampilan bersama skuad kebangsaan pada 2019, Faisal menjadi tonggak utama pasukan tetapi belum beraksi semula selepas insiden serangan tersebut.

Gol penyamaannya menentang Korea Selatan telah dinobatkan sebagai jaringan terbaik Piala Asia tahun lalu.

"Saya bercakap dengan Mickey minggu lalu. Saya ingin melihat keinginan dan minda beliau dalam situasi ini," kata Cklamovski.

"Saya lihat matanya penuh dengan semangat dan keinginan untuk menyarung jersi Malaysia serta membuat rakyat berbangga. Itulah sebabnya dia dipilih dalam skuad", katanya.

Pemain lincah itu turut berdepan cabaran untuk kembali ke prestasi terbaiknya dan hatrik yang dilakukan ketika menentang Kelantan Darul Naim FC dalam aksi Liga Super pada Ahad menyaksikan Faisal mula mendapat sentuhan seperti dahulu.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD