fb fb fb fb fb

Kelayakan Piala Asia 2023 Guna lebih dari satu stadium, elak kejadian berulang -Ahmad Faizal

(Stadium Bukit Jalil/FOTO FAIL BERNAMA)

IPOH, 13 Jun- Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dicadang untuk menggunakan beberapa stadium lain bagi perlawanan pusingan
kelayakan Piala Asia 2023.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, penggunaan lebih dari satu stadium boleh dilaksanakan bagi acara-acara perlawanan bola sepak peringkat antarabangsa sebagai langkah memastikan kualiti padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) berada dalam keadaan baik.

Beliau berkata, keadaan padang SNBJ pada perlawanan Malaysia menentang Bahrain tempoh hari sudah dijawab dengan jelas oleh Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bahawa sistem saliran stadium dalam keadaan baik.

Katanya, bagi mengelakkan kejadian sama berulang, Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diminta berbincang dengan Kementerian Belia dan Sukan serta PSM untuk menentukan venue perlawanan peringkat antarabangsa pada masa akan datang.

"Semua sedia maklum bahawa pertandingan ini di uruskan oleh pihak AFC dengan kerjasama FAM, bukan Kementerian Belia dan Sukan, bukan PSM. Jadi rakyat kena faham itu dulu sebelum nak marah pada menteri.

"Mungkin kita boleh gunakan beberapa stadium untuk kejohanan seperti ini contohnya bagi perlawanan tidak melibatkan ramai penonton seperti Turkmenistan melawan Bangladesh, kita boleh gunakan stadium Kuala Lumpur.

(Ahmad Faizal berkata penggunaan lebih dari satu stadium boleh dilaksanakan bagi acara-acara
perlawanan bola sepak peringkat antarabangsa sebagai langkah memastikan kualiti padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) berada dalam keadaan baik)


"SNBJ boleh digunakan untuk perlawanan melibatkan pasukan negara kita," katanya mengulas kritikan berhubung kualiti padang SNBJ ketika pasukan negara menentang Bahrain pada Sabtu lalu.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Surau Al-Faizin, Sekolah Kebangsaan Pasukan Polis Hutan, di sini.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal mengharapkan rakyat dan peminat bola sepak terus memberikan sokongan kepada pasukan negara biarpun kalah ketika menentang Bahrain, Sabtu lalu.

Media Baharu