fb fb fb fb fb

Kelantan FC mara ke suku akhir Piala Malaysia

(Nurshamil Abd Ghani meraikan jaringannya pada perlawanan TM
Piala Malaysia 2022 menentang Sarawak United FC/BERNAMA)

KOTA BHARU, 1 November- Kelantan FC melakukan kejutan apabila mara ke suku akhir Piala Malaysia dengan menewaskan Sarawak United FC 2-1 secara agregat selepas terikat 1-1 dalam aksi kedua pusingan 16 pasukan di Stadium Sultan Muhammad keempat, malam tadi.

Kemaraan itu menyaksikan The Red Warriors (TRW) bakal membuat perhitungan dengan juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk merebut tempat di separuh akhir.

Turun dengan kemenangan 1-0 da alam aksi pertama di Kuching minggu lalu, pasukan tuan rumah menampilkan corak permainan agresif apabila mengasak gawang pelawat yang dikawal Tauffiq Ar Rasyid Johar.

Tekanan yang diberi kepada benteng pelawat akhirnya membuahkan hasil apabila Norshamil Abdul Ghani meletakkan Kelantan di depan pada minit ke-12 apabila bijak menyambar bola hantaran daripada Jasmir Mehat .

Berselang dua minit, Sarawak cuba menyamakan kedudukan menerusi pemain import, Gonzalo Manuel Soto namun rembatannya terlalu tinggi melepasi tiang gol.

Kealpaan tuan rumah memberi kesempatan buat Raja Imran Shah untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-31 melalui tandukan tajam menewaskan penjaga gawang Kelantan FC Nik Mohd Amin Ahmad untuk kedudukan 1-1 kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan buntu menambah jaringan dan keputusan 1-1 kekal hingga tamat permainan, sekali gus menyaksikan Kelantan FC melakukan kejutan menewaskan pasukan Liga Super itu dengan agregat 2-1.

(Nurshamil Abd Ghani (kiri) melepaskan rembatan ke arah pintu gol Sarawak United FC pada
perlawanan TM Piala Malaysia 2022 di Stadium Sultan Muhammad Keempat/BERNAMA)

Media Baharu