fb fb fb fb fb

Kejohanan Tenpin Boling SAM-Yakeb 2023 capai objektif

(FOTO IHSAN SAM)

KUALA LUMPUR, 19 Februari- Penganjuran Kejohanan Tenpin Boling Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) 2023 berlangsung meriah dengan penyertaan seramai 108 peserta daripada 27 pasukan.

Presiden SAM, Norismadi Abdul Manap berkata, kejohanan itu berjaya mencapai objektif penganjuran untuk mengumpul dan mengeratkan silaturrahim antara pengamal media sukan di negara ini.

"Tujuan penganjuran kejohanan ini lebih kepada berkumpul dan melakukan aktiviti bersama semua media sukan dan ahli-ahli SAM.

"Kejohanan ini juga diharapkan dapat mengukuhkan kerjasama yang baik antara pengamal media dengan Yakeb. Peranan media amat penting untuk membantu menyalurkan maklumat kepada umum," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berharap kejohanan tersebut dapat menjadi titik permulaan kepada lebih banyak kerjasama antara SAM dengan pihaknya pada masa depan.

"Saya terharu melihat sambutan diberikan oleh pihak media dan juga ahli-ahli SAM, KBS (Kementerian Belia dan Sukan), ISN (Institut Sukan Negara) serta penaja-penaja juga begitu meyakinkan dan menggalakkan.

"Yakeb dan SAM seperti aur dan tebing, saling membantu memberikan maklumat. Saya harap penganjuran ini mengeratkan lagi hubungan antara Yakeb dan SAM untuk kita anjurkan program seperti ini setiap tahun," jelasnya.

Kejohanan turut diserikan dengan kehadiran Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang turut tidak ketinggalan mempamerkan kemahirannya bermain boling.

Juara kejohanan menjadi milik Team ISN yang diwakili Mohd Redzuan Mohd Zol, Mohd Rafi Hasim, Razif Sazali dan Asnidar Nor Abd. Rahim dengan 1,049 jatuhan pin keseluruhan.

Pasukan Gebu's MSN diwakili Mohd Yazid Shoib, Nurul Ain Othman, Syazana Aqilah Lokman dan Siti Sapinah Hussein muncul naib juara dengan 1,026 jatuhan pin.

Tempat ketiga pula menjadi milik Star Pixs yang dibarisi Ahmad Izzrafiq Alias, Faihan Ghani, Kamarul Ariffin dan Rozaidah Hamid selepas berjaya melakukan 1,008 jatuhan pin.


(FOTO IHSAN SAM)

Media Baharu