SEPANG, 31 Julai - Pelumba muda negara, Kasma Daniel Kasmayudin terus menyerlah apabila menang perlumbaan pertama kelas 1000 CC yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Pelumba pasukan Yamaha Gen Blu Racing Team Asean berusia 22 tahun itu berjaya mengekalkan aksi konsisten sehingga ke akhir perlumbaan.
(Pelumba muda negara, Kasma Daniel Kasmayudin)
"Untuk lumba ke-2 dan lumba ke-3 saya tidak boleh nak anggapkan orang kata perlumbaan itu mudah kerana dimana Azlan dan penunggang yang lain pasti telah melakukan persediaan yang lebih bagus lagi jadi apa-apa pun kita hanya menantikan mereka dan bagi saya cuma buat seperti biasa seperti yang saya buat sekarang lah," katanya.
Pelumba kelahiran Johor itu berjaya menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 21 minit 31 saat.
Tempat kedua dimenangi pelumba pasukan Horizon racing team, Azlan Shah Kamaruzaman manakala Ahmad Daniel Haiqal ketiga.
Perlumbaan ke-2 dan ke-3 akan berlangsung semalam.
Sementara itu, bekas pelumba moto 2 negara, Khairul Idham Pawi atau dikenali dengan nama 'Super KIP" berjaya menduduki tempat pertama dalam perlumbaan satu kelas 600cc.
"Saya sentiasa cuba yang terbaik dan sentiasa cuba lawan untuk podium tiada sebarang strategi apa-apa pun, hanya lumba dan ambil pengalaman untuk perlumbaan di asia nanti," katanya.
Super Kip berjaya menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 21 minit 53 saat.
Tempat kedua menjadi milik rakan sepasukannya, Azroy Hakeem Anuar manakala tempat ketiga diraih oleh pelumba pasukan SIC Racing, Muhd Ibrahim Mohd Norrodin.