fb fb fb fb fb

Kejohanan Ragbi 10 Sepasukan Tertutup Pahang 2024 platform utama pemilihan atlet berbakat

Foto FB Pahang Media

KUANTAN, 26 Februari- Kejohanan Ragbi 10 sepasukan tertutup Negeri Pahang menjadi platform utama pemilihan atlet berbakat untuk diserapkan sebagai pemain negeri dan juga skuad pelapis Sukan Malaysia (Sukma).
 
Kejohanan tahun itu juga antara lain bagi mempromosikan sukan ragbi lebih meluas kepada anak Pahang di samping memberi peluang kepada kelab-kelab tempatan beraksi di pentas kompetitif.

Presiden Kesatuan Ragbi Negeri Pahang, Datuk Tun Putera Abdul Mubin Shah berkata, kejohanan tahunan itu juga menjadi sasaran pihaknya untuk melahirkan lebih ramai atlet ragbi Pahang terbaik untuk layak membarisi ‘skuad Bunga Raya’ di pentas antarabangsa.
 
“Kita akan jadikan kejohanan ini sebagai acara tahunan yang mampu mencungkil bakat-bakat berharga sukan Ragbi. Ini adalah usaha untuk memperkenalkan lagi sukan Ragbi kepada umum dan meningkatkan minat anak muda dalam sukan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Penutup Kejohanan Ragbi 10 Sepasukan Tertutup Negeri Pahang di Sekolah Sukan Malaysia Pahang, Gambang, di sini, pada Ahad.

Majlis disempurnakan oleh Tengku Mahkota Pahang,Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut hadir, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal.
 
Dalam majlis itu, Baginda Tengku Hassanal turut berkenan menyaksikan perlawanan akhir yang berkesudahan pasukan ragbi Jerantut iaitu JBOK RC dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan Kuantan Palmyras RC hasil penentuan try pada masa tambahan selepas terikat 5-5.
 
Dalam kejohanan itu, sebanyak 24 pasukan kelab daerah dan IPT bersaing bagi menjulang Piala Kejohanan yang berlangsung dua hari sejak semalam.

ZEHRA BINTI ZAMBRI