KUALA LUMPUR, 14 November - Pemanah berpengalaman negara, Mohd Juwaidi Mazuki, mengharumkan nama Malaysia selepas meraih pingat gangsa kategori lelaki dalam acara compound Kejohanan Memanah Asia 2025 di Dhaka, Bangladesh, Khamis, sekali gus mencatat pencapaian pingat pertama Malaysia dalam acara itu sejak 2015.
Mohd Juwaidi menafikan tentangan sengit wakil Korea Selatan, Kim Jongho, dengan kemenangan tipis 148-147 pada aksi penentuan pingat gangsa di Stadium Nasional.
Kali terakhir Malaysia memenangi pingat dalam acara compound Kejohanan Memanah Asia adalah pada edisi 2015 di Bangkok, Thailand, menerusi gangsa berpasukan wanita yang disumbangkan Saritha Cham Nong, Nor Rizah Ishak dan Fatin Nurfatehah Mat Salleh.
Dalam pada itu, pemanah berusia 19 tahun dari Korea Selatan, Lee Eun Ho, meraih pingat emas compound lelaki selepas menumpaskan rakan senegaranya, Choi Yonghee, 146-143.
Kejayaan Mohd Juwaidi menyaksikan Malaysia menambah pingat kedua pada kejohanan berkenaan selepas trio memanah wanita negara Ku Nurin Afiqah Ku Ruzaini, Ariana Nur Diana Zairi dan Joey Tan membawa pulang pingat gangsa acara recurve berpasukan wanita selepas menundukkan Uzbekistan 6-0 pada Selasa lepas.