fb fb fb fb fb

Kejohanan Golf Amal YSB raih sumbangan dana RM539,024

TUANKU Aishah Rohani Tengku Besar Mahmu (duduk, tengah) bergambar bersama tetamu diraja, kehormat dan peserta Kejohanan Golf Amal edisi ke-23 sebelum kejohanan bermula di The Mines Resort & Golf Club, Seri Kembangan, semalam.

KUALA LUMPUR, 25 Julai- Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) berjaya meraih sumbangan dana sebanyak RM539,024 menerusi Kejohanan Golf Amal edisi ke-23, semalam.

Kejohanan amal berkenaan membabitkan penyertaan penuh semangat 96 pemain golf yang berlangsung di The Mines Resort & Golf Club, Seri Kembangan.

Tunku Temenggong Kedah, Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang juga Pengerusi YSB  bertitah, objektif kejohanan golf amal itu adalah untuk mengumpul dana untuk semua program YSB yang memerlukan RM2 juta setahun demi kelangsungan pelaksanaan tanggungjawab pelbagai program sosialnya.

“Melalui dana yang dikumpul, kami telah dapat membantu ribuan orang yang memerlukan bantuan kewangan dan bantuan perubatan.

“Dalam soal kesihatan, sokongan anda telah membolehkan kami menawarkan bantuan perubatan dan pendidikan kesihatan kepada orang ramai. Program kami memberi tumpuan kepada penjagaan pencegahan dan pemeriksaan kesihatan,” titah Tunku Temenggong Kedah dalam majlis berkenaan.

Menyentuh program pendidikan, Tunku Puteri Intan Safinaz bertitah, Projek Titian Bistari (PTB) atau Projek Jambatan Menuju Kecemerlangan merupakan salah satu program terulung YSB sejak 1999 yang memfokuskan kepada sekolah rendah terpilih di kawasan luar bandar.

Titah Tunku Temenggong Kedah, usaha itu berjaya melibatkan 67,140 pelajar kurang berkemampuan sehingga kini.

Yayasan AlBukhary dan Yayasan Muhibah Tan Sri Fng Ah Seng tampil selaku penaja emas dengan tajaan masing-masing bernilai RM50,000.

Optimax Eye Specialist Centre Sdn Bhd, AJ Resorts Sdn.Bhd dan Richiamo Coffee Sdn. Bhd turut tampil selaku penaja perak dengan jumlah tajaan masing-masing RM30,000. The Mines Resort and Golf Club turut menyumbang dengan menampung kos venue untuk majlis tersebut.

Kejohanan amal kali ke-23 itu juga diiktiraf sebagai salah satu kejohanan golf amal yang paling lama dihoskan oleh NGO telah diserikan dengan kehadiran DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, DYTM Raja Muda Kedah, YMM Che Puan Besar Kedah, DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, YTM Tunku Besar Tampin Negeri Sembilan dan YTM Tunku Temenggong Kedah.

Hadiah utama yang ditawarkan ialah basikal lipat FNHon bernilai RM4,500 tajaan Wantas Shipping (Langkawi) Sdn.Bhd diikuti jam tangan Iroas ​​Staratos Amfivios bernilai RM3,200 tajaan ATG Watch Sdn Bhd dan Kamui Driver TG305 daripada Nippon Golf Tech (RM3,000).

Sementara bagi cabutan bertuan, lukisan abstrak eksklusif (RM4,800) sumbangan Datin Lelawati Mohd Raffik Affandy, iron head (RM4,500) tajaan Nippon Golf Tech dan TV pintar (RM1,000) daripada Richiamo Coffee Sdn. Bhd.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE