NEW JERSEY, 11 Julai – Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique menegaskan kejayaan pasukannya dalam kancah bola sepak eropah adalah berpaksikan kekuatan semangat berpasukan dan bukannya kehebatan individu.
Bercakap menjelang perlawanan akhir Piala Dunia Kelab menentang Chelsea pada Ahad ini, Enrique berkata, pendekatan kolektif yang diterapkan menjadi teras kepada kebangkitan semula PSG khususnya selepas kejayaan bersejarah menjuarai Liga Juara-Juara Eropah baru-baru ini.
“Kami membina sesuatu yang baharu di PSG, bukan bergantung pada individu, tetapi kepada seluruh pasukan yang bekerja sebagai satu unit,” jelas Enrique dalam sidang media yang berlangsung di Stadium MetLife, New Jersey.
Di bawah kendalian beliau, PSG telah melalui transformasi besar apabila barisan pemain ternama seperti Neymar, Lionel Messi dan Kylian Mbappe meninggalkan kelab dan digantikan dengan pemain muda berbakat yang menghayati falsafah bola sepak menyeluruh.
Enrique turut merendah diri apabila menolak tanggapan bahawa kejayaan PSG adalah hasil perancangannya semata-mata, sebaliknya menegaskan bahawa ia merupakan usaha bersama semua pihak dalam pasukan.
Pertemuan PSG dengan Chelsea dalam final Piala Dunia Kelab dijangka sengit dengan kedua-dua kelab berhasrat mencatat sejarah dan menjulang trofi antarabangsa yang berprestij itu.
PSG kini berpeluang menutup musim yang luar biasa dengan satu lagi kejuaraan iaitu Piala Dunia Kelab, trofi yang belum pernah mereka miliki sebelum ini. -REUTERS