fb fb fb fb fb

Kedah, Wilayah Persekutuan ungguli Pertandingan Kabaddi Antara Negeri-Negeri

Kedah muncul juara kategori lelaki

SUNGAI PETANI, 8 Oktober- Kedah dan Wilayah Persekutuan masing-masing muncul juara kategori lelaki dan wanita Pertandingan Kabaddi Antara Negeri-Negeri peringkat bawah 21 tahun.
 
Pertandingan anjuran Persatuan Pengusaha Perfileman India Pulau Pinang dan Dream Sky Home Production Sdn Bhd dengan kerjasama Persatuan Kabaddi Kedah itu diadakan di Dewan Minterk, Sungai Petani, Kedah.
 
Kedah yang menampilkan aksi memukau dengan gerakan-gerakan menarik cemerlang untuk mengungguli kategori lelaki.
 
Manakala tempat kedua dimenangi Wilayah Persekutuan; dan tempat ketiga dikongsi Pulau Pinang dan Melaka.
 
Sementara itu, bagi kategori wanita, Wilayah Persekutuan berjaya mengubat kekecewaan pasukan lelakinya apabila dinobatkan selaku juara.
 
Tempat kedua dimenangi Negeri Sembilan manakala Kedah dan Kelantan pula berkongsi tempat ketiga.
 
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Timbalan Menteri Perpaduan, Senator Saraswathy Kandasami.
 
Sementara itu, Presiden Persatuan Kabaddi Kedah, Sadasivam berkata, pertandingan tersebut bukan sahaja dapat menggalakkan masyarakat melibatkan diri dan menyokong pembangunan kabaddi di semua peringkat, malah memupuk budaya bersukan dalam kalangan masyarakat.
 
Pertandingan tersebut berjaya mengumpulkan pemain-pemain kabaddi terbaik daripada 12 pasukan negeri, yang berjuang dengan penuh semangat dan ketangkasan sepanjang acara berlangsung.
 
Ia menjadi pentas bagi menonjolkan kebolehan dan kecekapan pemain-pemain tempatan dalam sukan kabaddi, sambil memberikan persembahan yang mendebarkan kepada penonton yang hadir.
 
Menerusi persaingan yang sengit, para pemain menunjukkan kemahiran tinggi dan memberikan aksi-aksi menarik sepanjang pertandingan.
 
Pertandingan tersebut menjadi bukti kehebatan kabaddi tempatan serta kesungguhan pemain dalam mengharumkan nama negeri masing-masing.
 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE