fb fb fb fb fb

Kedah tidak terkesan, kepulangan semula Syafiq Ahmad ke JDT

ALOR SETAR, 22 Mei - Kedah Darul Aman KDA FC tidak terkesan dengan ketiadaan Syafiq Ahmad yang dipanggil kembali menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT).

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata tindakan (JDT) memanggil penyerangnya itu bukan perkara biasa dan berdasarkan perjanjian pemain pinjaman boleh dipanggil bila bila masa.

Menurutnya, ia tertakluk pada perkara bawah 2.1 (2) yang dimeterai antara dua pasukan berkenaan dan bukanlah menjadi suatu kesalahan.

Malah katanya ketiadaan Syafiq juga tidak menjejaskan persiapan KDA FC untuk menghadapi liga memandangkan musim perpindahan akan bermula hujung bulan ini.


"Orang lain pun boleh masuk, saya tengah buat Liga MB sekarang ini seluruh Kedah. Saya ingat ratusan orang akan dilahirkan daripada liga itu. Saya tidak risau pasal pemain. Ramai anak Kedah yang dieksport keluar yang dilatih di Kedah di cungkil disini dah saya tak takut. Kita ada seperti kilang lah disini melahirkan pemain-pemain berkualiti. Malah pasukan selatan pun ambil pemain Kedah dua tiga orang, saya nak heran apa," katanya pada sidang media selepas program Santai Anak Utara di Taman Jubli Emas disini.


(Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor)

Muhammad Sanusi berkata, KDA FC juga tidak berhasrat untuk membeli Syafiq dan terus kekal dalam pasukan itu, sebaliknya pemilihan pemain gantian akan dilakukan dalam masa terdekat.

Pada Jumaat lalu, laman Facebook Johor Southern Tigers melaporkan JDT akan memanggil semula Syafiq daripada pinjamannya di KDA FC.

Bagaimanapun kelab tersebut tidak menjelaskan punca mengapa Syafiq dipanggil semula.

Sehari sebelum itu, Muhammad Sanusi dedahkan kewujudan ‘tokong’ dalam arena bola sepak hanya akan menjejaskan mutu bola sepak negara selain menyebabkan persaingan tidak sihat.

Media Baharu