fb fb fb fb fb

Kecederaan ACL jejas peluang Minamino di Piala Dunia 2026

Takumi Minamino mengalami koyakan ACL selepas mengalami kecederaan ketika aksi Piala Perancis menentang Auxerre, Ahad lalu/foto AFP

PARIS, 22 Disember - Pemain tengah Jepun, Takumi Minamino, mengalami kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL) di lutut kiri, sekali gus menimbulkan keraguan besar terhadap peluangnya untuk beraksi pada Piala Dunia 2026.

Kelab Ligue 1 Perancis, AS Monaco, mengesahkan pada Isnin bahawa pemain berusia 30 tahun itu mengalami koyakan ACL selepas mengalami kecederaan ketika aksi Piala Perancis menentang Auxerre, yang menyaksikan Monaco mencatat kemenangan 2-1, Ahad lalu.

Minamino terpaksa dikeluarkan dari padang menggunakan pengusung, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap tahap kecederaan yang dialaminya.

Bekas pemain Liverpool itu merupakan antara tonggak utama skuad kebangsaan Jepun kendalian Hajime Moriyasu, dengan rekod 26 gol daripada 73 penampilan bersama Samurai Blue.

Jepun dijadualkan beraksi dalam Kumpulan F Piala Dunia 2026 bersama Belanda, Tunisia serta satu pasukan pemenang perlawanan play-off Eropah yang melibatkan Poland, Sweden, Ukraine dan Albania.

Piala Dunia 2026 akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico dari 11 Jun hingga 19 Julai.-AFP

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI