TANGIER, 22 Disember - Juara Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2021, Senegal, menegaskan pasukan itu tidak mahu dibuai status sebagai antara pilihan utama kejohanan menjelang perlawanan pembukaan Kumpulan D menentang Botswana di sini, pada Selasa (23 Disember).
Ketua jurulatih Senegal, Pape Thiaw, berkata pasukannya sedar terhadap jangkaan tinggi yang diletakkan ke atas mereka, namun menegaskan fokus utama pasukan adalah untuk menghadapi kejohanan itu satu perlawanan demi satu perlawanan.
“Kami tahu terdapat jangkaan, tetapi kami tidak bersembunyi di sebalik perkara itu. AFCON adalah kejohanan bertaraf tinggi dan setiap pasukan yang berada di sini memang layak sepenuhnya,” katanya.
Menurut Thiaw, Botswana bukan lawan yang boleh dipandang sebelah mata selepas berjaya melepasi pusingan kelayakan yang mencabar, sekali gus menuntut tahap persiapan dan komitmen maksimum daripada pemain Senegal.
Sementara itu, pemain pertahanan berpengalaman Senegal, Kalidou Koulibaly, berkata kejohanan kali ini merupakan penampilan kelimanya di pentas AFCON dan beliau berhasrat memanfaatkan pengalaman luasnya untuk membimbing pemain muda dalam skuad.
“Saya sangat bangga dapat beraksi dalam lima AFCON bersama Senegal. Kami masih dahagakan kemenangan dan pengalaman ini membolehkan kami membawa ketenangan serta keseimbangan kepada pasukan,” katanya.
Koulibaly turut menekankan peranan pemain senior seperti Sadio Mane, Idrissa Gueye, Ismaïla Sarr dan Edouard Mendy dalam membantu membentuk gabungan seimbang antara pemain berpengalaman dan bakat muda bagi melangkah sejauh mungkin dalam kejohanan itu.
Di kem Botswana pula, ketua jurulatih Morena Ramoreboli, yakin pasukannya bersedia untuk mengharungi cabaran besar menentang Senegal, sambil menegaskan persiapan rapi telah dilakukan menjelang aksi pembukaan.
“Ia perlawanan besar yang memerlukan tahap persediaan dan komitmen tinggi. Saya percaya pasukan kami bersedia untuk tugasan ini,” katanya.
Ramoreboli turut memaklumkan pihaknya telah menjalankan analisis terperinci terhadap corak permainan Senegal, yang disifatkan sebagai pasukan fleksibel dari segi taktikal dan berbahaya di bahagian sayap.
Beliau berharap barisan pemain Botswana dapat mengambil inspirasi daripada kejayaan atlet negara itu, termasuk pemenang pingat emas acara 200 meter lelaki Sukan Olimpik Paris 2024, Letsile Tebogo, sebagai motivasi untuk beraksi dengan lebih yakin di pentas AFCON.-REUTERS