NILAI, 22 Disember -Pelaburan berterusan Kerajaan Negeri Sembilan dalam pembangunan sukan membuahkan hasil apabila 29 atlet negeri berjaya meraih pingat pada kejohanan utama termasuk Sukan Malaysia (SUKMA) dan Sukan SEA Thailand 2025.
Kejayaan itu mencerminkan keberkesanan pendekatan menyeluruh kerajaan negeri dalam melahirkan atlet berprestasi tinggi, sekali gus mengukuhkan pembangunan belia berteraskan disiplin, jati diri dan daya saing.
Pencapaian berkenaan diraikan menerusi Majlis Malam Apresiasi Belia dan Sukan Negeri Sembilan 2025 yang berlangsung di Dataran Nilai.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, acara itu merupakan manifestasi penghargaan kerajaan negeri terhadap warga sukan yang menjadi aset penting pembangunan negeri.
“Majlis ini adalah manifestasi penghargaan Kerajaan Negeri kepada wira dan wirawati sukan yang telah mengharumkan nama Negeri Sembilan di persada yang lebih luas.
Kerajaan Negeri kekal komited menjadikan sukan sebagai elemen penting dalam membina generasi belia yang sihat, berdaya saing dan berdisiplin,” katanya.
Pada majlis sama, Pengarah Penyiaran Negeri Sembilan, Suhana Suratman, dianugerahkan Anugerah Ikon Sukan Kategori Penjawat Awam Negeri Sembilan.
Ia merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam pembangunan serta promosi sukan di peringkat negeri.
Suhana turut menerima penghargaan sebagai Media Rasmi Rakan Kerjasama bagi program Negeri Sembilan Seven Wonders Challenge 2.0, atas sokongan strategik dalam menjayakan program sukan berimpak tinggi kepada komuniti.