fb fb fb fb fb

KDA FC tewas tipis kepada JDT, 1-2

Foto Facebook Johor Southern Tigers

ALOR SETAR, 20 Julai- Kedah Darul Aman (KDA) FC terpaksa gigit jari apabila tewas tipis 1-2 di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman malam tadi.

Skuad Sang Kenari dikejutkan pada minit ke-23 apabila larian pantas Oscar Aribas menghasilkan gol pertama JDT selepas berdepan satu lawan satu dengan penjaga gawang Kedah, Kalamullah Al-Hafiz.

JDT terus mengasak ke gawang Kedah melalui penyerang utamanya Berson Da Silva yang berjaya membolosi gawang Kedah kali kedua pada minit ke-31 namun gerakannya itu disahkan offside melalui Video Bantuan Pengadil (VAR) sebelum percubaan gerakan pantas oleh pemain sayap Harimau Selatan Ariff Aiman yang terkena tiang gol pada minit ke-44.

Bermula babak kedua, JDT meneruskan momentum serangan dengan tiga percubaan bahaya bermula minit ke-51 melalui Berson Da Silva, disusuli Heberty Fernandez (minit ke-52) dan Oscar Aribas (minit ke-53), namun semua percubaan itu gagal menghasilkan gol .

Kemasukan penyerang gantian Ebenezer Assifuah pada minit ke-56 dan Fayadh Zulkifli pada minit ke-63 menggantikan penyerang Milos Gordic dan Faiz Nasir memberi semangat tambahan buat penyokong Kedah.

Akhirnya pemain tengah, Habib Haroon mencetuskan keceriaan buat penyokong Sang Kenari pada minit ke-87 apabila menolak bola masuk ke gawang JDT selepas berlaku situasi kelam kabut di kawasan kotak penalti JDT.

Namun di hujung babak kedua KDA FC hampir mendapat sepakan penalti apabila bola dikatakan terkena tangan pemain pertahanan JDT, Shahrul Saad namun tidak disahkan melalui semakan VAR.

Sebelum pengadil Muhammad Nazmi Nasaruddin menamatkan perlawanan, JDT berjaya menambah gol kedua melalui sentuhan Romel Morales sekali gus melenyapkan impian Kedah untuk mengulangi rekod mengikat JDT di laman sendiri.

Sementara itu Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman KDA FC Nafuzi Zain berpuas hati dengan permainan yang ditampilkan oleh anak-anak buahnya meskipun tewas hasil jaringan saat akhir oleh Roman Morales sekali gus tunduk dengan 1-2 kepada juara bertahan 2023, JDT.

"...dari segi prestasi saya rasa ia sangat baik apabila kita bertemu JDT, mungkin apabila tewas sedikit itu agak kecewa disebabkan gol pada saat-saat akhir perlawanan," kata Nafuzi Zain.

Berkenaan keputusan pengadil memberikan penalti pada masa kecederaan, beliau menerima dengan hati terbuka dengan menyatakan nasib tidak menyebelahi pasukan Sang Kenari.

Sementara itu bagi Ketua Jurulatih JDT Hector Pablo Hidalgo berpuas hati dengan keputusan mengatasi KDA FC di laman sendiri dengan gol 2-1 meskipun diakui sukar perlawanan dihadapan 22,600 penyokong KDA FC.

"Saya dapat melihat situasi sebenar perlawanan yang sukar mengalahkan tuan rumah dengan permainan yang bagus, namun kami dapat mengimbangi perlawanan dan dapat menguasai separuh masa pertama.

"...akan tetapi separuh masa kedua dilihat tertekan juga namun berpuas hati persembahan dipamerkan berbeza beraksi di laman sendiri perlawanan sebelum ini dihadapan penyokong sendiri di laman lawan di Darul Aman," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI