fb fb fb fb fb

KDA FC terima tiga pencalonan dalam ABK 2023

Foto Hiasan

ALOR SETAR, 1 November- Empat wakil Kedah Darul Aman (KDA FC) dicalonkan dalam tiga kategori Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2023 (ABK 23) yang bakal berlangsung pada hujung Disember depan.

Pengendali skuad Liga Super KDA FC, Nafuzi Zain, antara 10 jurulatih yang dicalonkan dalam kategori Jurulatih Terbaik bersama-sama pengendali JDT FC, Esteban Solari; dan pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee.

Berdasarkan senarai pencalonan yang dikeluarkan oleh Malaysian Football League, MFL, semalam, turut dicalonkan, ketua pasukan Liga Super KDA FC dari Filipina, Manuel Ott bagi kategori Pemain Import Terbaik.

Manakala penjaga gol skuad Liga Super KDA FC; Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi dan penjaga gol KDA FC “B”, Syakir Danial Ma'amal Hajri dicalonkan dalam kategori Penjaga Gol Terbaik.

Acara tahunan berprestij bola sepak tempatan itu diadakan bagi memberikan pengiktirafan kepada pencapaian yang telah diraih pelbagai pihak kepada arena bola sepak tanah air terutamanya kepada pemain dan jurulatih dalam kancah Liga Malaysia musim ini.

KDA FC yang dimiliki Tokoh Kewangan, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar kini berada di landasan yang tepat untuk menamatkan saingan Liga Super musim ini di tempat kedua di belakang juara bertahan, JDT FC dan berpeluang untuk layak ke saingan Piala AFC musim depan.

Persembahan cemerlang dalam saingan Liga Super memberi sedikit kelegaan buat pasukan itu selepas aksi mengecewakan dipamerkan dalam saingan Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Cabaran MFL 2023.

ZEHRA BINTI ZAMBRI