fb fb fb fb fb

ABK 2023: Dua kategori baharu diperkenal

16 kategori bakal dipertandingkan dalam ABK 2023

KUALA LUMPUR, 1 November- Edisi Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2023 (ABK23) kali ini bakal tampil dengan kelainan menerusi dua kategori baharu iaitu Pemain Terbaik Piala MFL dan Penjaring Terbanyak Piala MFL.

Menurut kenyataan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), penambahan dua kategori baharu yang memberi pengiktirafan kepada kejohanan pasukan bawah 23 tahun itu sekali gus menyaksikan 16 kategori bakal dipertandingkan kali ini.

Selain dua kategori baharu terbabit, 14 kategori lain adalah Anugerah Fair Play, Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super dan Penjaring Terbanyak Liga Super, FAN XI, Jurulatih Terbaik, Pasukan Terbaik dan Gol Terbaik Liga Malaysia (Liga M) 2023.

Selain itu, kategori bagi setiap posisi turut dipertandingkan membabitkan Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik dan Penyerang Terbaik selain Pemain Import dan Pemain Muda Terbaik.

Dalam masa sama, MFL juga berbesar hati apabila dapat menganjurkan ABK23 secara fizikal selepas diadakan secara maya tahun lepas.

Acara tahunan berprestij bola sepak tempatan itu diadakan bagi memberi pengiktirafan kepada pencapaian diraih pelbagai pihak dalam arena bola sepak tanah air terutamanya kepada pemain dan jurulatih yang bersaing pada Liga Malaysia musim ini.

Sebagai rekod, seramai 398 daripada 782 pemain disenarai pendek berdasarkan penampilan bersama kelab masing-masing sebelum dibawa ke Jawatankuasa Saringan ABK23 bagi menyenarai pendekkan 10 pemain terbaik dalam setiap kategori.

ZEHRA BINTI ZAMBRI