KUALA LUMPUR, 9 Februari- Skuad Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menyasarkan sekurang-kurangnya satu trofi musim ini dengan gelaran Juara Liga Super menjadi keutamaan.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mezahirkan keyakinan itu berdasarkan keadaan kelab yang semakin baik terutama dalam aspek kewangan.
Jelas beliau, kekangan dana banyak merencatkan momentum pasukan, namun skuad itu masih berjaya menduduki naib juara Liga Super buat kali kedua berturut-turut .
"Saya rasa kalau adunan cukup cantik, Johor Darul Takzim (JDT) bukan lawan kita, sasaran kita adalah mengalahkan JDT tahun ini, bukan mustahil," katanya pada sidang media selepas majlis memperkenalkan penaja dan rakan rasmi KDA FC musim 2022.
Turut hadir, penaung KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali serta barisan penaja.
Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Muhammad Sanusi mengesahkan pasukan KDA FC kembali menggunakan gelaran Sang Kenari bagi kempen musim baharu selepas sinonim dengan panggilan Helang Merah sebelum ini.