fb fb fb fb fb

KBS yakin LTDL 2022 berlangsung ikut jadual

KUALA LUMPUR, 4 September - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin penganjuran jelajah berbasikal Le Tour de Langkawi (LTDL) akan berlangsung seperti yang dijadualkan pada bulan depan.

Menurut beliau, pihak Kementerian Belia dan Sukan juga amat menghargai kerjasama yang ditunjukkan oleh semua kerajaan negeri yang terlibat.

"Semua akan berjalan dengan lancar, saya harap orang ramai dapat memberikan sokongan dan membuka mata dunia untuk negara luar turut serta dalam acara lumba berbasikal ini," katanya kepada media selepas menghadiri Himpunan Mega Basikal Lipat Kebangsaan 2022!, di sini, hari ini.

(Faizal Azumu bersama Foldie Angkasapuri di 
Himpunan Mega Basikal Lipat Kebangsaan 2022! hari ini/FOTO FACEBOOK Faizal Azumu)

Tambahnya, penganjuran LTDL juga bakal mengukuhkan lagi keyakinan pelancong asing untuk datang ke Malaysia.

LTDL 2022 bakal menampilkan saingan sejauh 1,183 kilometer membabitkan lapan peringkat bermula di Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan berakhir di Pulau Langkawi.

Perlumbaan jelajah berbasikal terulung di Asia itu dijadualkan berlangsung dari 11 hingga 18 Oktober ini.

Media Baharu