Petaling Jaya, 14 Julai - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini dalam usaha memperkemas sistem pensijilan jurulatih sukan di seluruh negara menerusi kerjasama erat bersama Institut Sukan Negara (ISN), termasuk perancangan untuk memaparkan senarai jurulatih yang diiktiraf kepada umum.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata perbincangan sedang berlangsung bagi merangka mekanisme terbaik agar semua jurulatih memperoleh sijil tauliah yang sah, sekali gus meningkatkan tahap profesionalisme dan keselamatan dalam bidang kejurulatihan.
"KBS sedang berbincang dengan ISN untuk menentukan kaedah terbaik setiap jurulatih mendapatkan sijil tauliah. Kita juga merancang untuk memaparkan nama-nama jurulatih yang berjaya mendapat pengiktirafan rasmi.
“Ini penting kerana kita kini mempunyai kemudahan pelepasan cukai bagi latihan sukan dan ibu bapa semakin cenderung memilih jurulatih untuk anak mereka. Maka, kita mahu pastikan persekitaran latihan yang selamat untuk semua, termasuk kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2024 di sini, hari ini.
Hannah berkata maklumat lanjut mengenai mekanisme pensijilan itu akan diumumkan oleh ISN dalam masa terdekat.