fb fb fb fb fb

Hakim Danish mahu bangkit di Austria selepas aksi suram di Jerman

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Pelumba remaja sensasi negara, Hakim Danish Ramli berazam untuk bangkit dalam baki saingan Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) selepas berdepan detik sukar di Pusingan 5 di Sachsenring, Jerman minggu lalu.

Pelumba berusia 17 tahun itu gagal meraih sebarang mata buat pertama kali musim ini apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-18 susulan kemalangan yang dialaminya di pertengahan saingan.

“Saya agak kecewa dengan pusingan kelima di Sachsenring kerana saya jatuh akibat ‘over braking’ dan hilang kawalan di bahagian hadapan.

"Tapi saya akan ambil insiden ini sebagai pengajaran dan tidak akan ulangi kesilapan sama di perlumbaan seterusnya di Austria,” katanya.

Pelumba berasal dari Terengganu, turut mengakui tidak mendapat keserasian dengan jentera sejak sesi latihan bebas hingga ke sesi kelayakan.

Meskipun begitu, kemalangan tersebut tidak menjejaskan kedudukannya di puncak carta keseluruhan RBMRC apabila kekal mendahului dengan 154 mata iaitu 13 mata mengatasi pencabar terdekat dari Sepanyol, Brian Uriarte.

Uriarte turut gagal meraih mata selepas mengalami kemalangan di penghujung perlumbaan, manakala kemenangan di Sachsenring menjadi milik pelumba Indonesia, Veda Ega Pratama.

Hakim masih memiliki empat perlumbaan berbaki musim ini dan berikrar untuk terus memberikan aksi terbaik sehingga penamat musim.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD