(Menteri KBS, Hannah Yeoh)
BUTTERWORTH, 10 Jun- Isu yang dibangkitkan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang akan diberi perhatian serius sepenuhnya oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Komitmen itu disuarakan sendiri oleh Menteri KBS, Hannah Yeoh.
Beliau berkata satu jawatankuasa akan bermesyuarat minggu hadapan dalam usaha mencari jalan penyelesaian terbaik untuk semua atlet.
"Kita akan adakan mesyuarat Road To Gold.Semua hasrat dan atlet-atlet yang terpilih ini akan dikaji oleh jawatankuasa Road To Gold dan saya telah menghubungi Datuk Azizul melalui koordinator kita juga, Datuk Stuart Ramalingam.Kita akan usahakan yang terbaik untuk atlet kita dan pastikan peluang untuk Malaysia dapat pingat emas itu cerah," katanya.
Hannah ditemui pemberita selepas merasmikan Pelancaran Program Malaysia Aktif @ Komuniti Peringkat Kebangsaan di PPR Taman Bagan Jaya, Pulau Pinang yang turut dihadiri Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng.
Azizulhasni sebelum ini, melahirkan rasa terkilan terhadap Majlis Sukan Negara (MSN) kerana masih belum dapat menyediakan sistem sokongan lengkap, selepas memindahkan pangkalan latihannya dari Melbourne, Australia ke Velodrom Nasional di Nilai, sejak awal tahun ini.
Menurut beliau, walaupun beberapa siri perbincangan telah diadakan tetapi sehingga kini tiada penyelesaian dicapai sedangkan Sukan Olimpik Paris akan berlangsung dalam tempoh setahun.
(Datuk Azizulhasni Awang/ BERNAMA)