KUALA LUMPUR, 15 Jun - Presiden Persatuan Olahraga Amatur Perak, Datuk Karim Ibrahim kembali menerajui Olahraga Malaysia (MA) selepas enam tahun apabila dipilih sebagai presiden baharu bagi penggal 2025 hingga 2028.
Pemilihannya dibuat semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) hari ini, dengan beliau memperoleh 25 undi, menewaskan pencabarnya Datuk Wira Mark Ling Lee Meng yang menerima 15 undi.
Pertandingan yang pada awalnya dijangka menyaksikan tiga penjuru berubah menjadi saingan satu lawan satu selepas penyandang jawatan, Datuk Seri Shahidan Kassim, mengumumkan penarikan diri secara mengejut pada saat akhir.
Karim, yang pernah memimpin MA pada 2014 hingga 2019, bertekad untuk mengembalikan semula kegemilangan olahraga negara di pentas antarabangsa menerusi barisan kepimpinan baharu.
"Terlebih dahulu saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada bekas presiden saya, Datuk Seri Shahidan dan seluruh para perwakilan."
Beliau menyatakan perkara berkenaan selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-22 Olahraga Malaysia yang berlangsung di sini, hari ini.
Seramai 39 perwakilan mengambil bahagian dalam proses pemilihan yang berlangsung hampir empat jam itu.
Dalam pemilihan yang sama, Datuk Wan Hisham Wan Salleh dipilih sebagai Timbalan Presiden, manakala empat individu iaitu Datuk R Annamalai, N Padmanathan Nagappan, Prof Dr Mohamed Rusli Abdullah dan Josephine Kang Teok Koon dipilih sebagai Naib Presiden.